Tips-tips Kesihatan Di Bulan Ramadhan

Setiap kali kedatangan Ramadhan, kita sentiasa memasang niat untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita.

Terbaik dalam ubudiah kita kepada Allah, terutamanya di dalam melaksanakan ibadah-ibadah khususiah seperti puasa, membaca Al-Qur’an, Solat, Qiamullail, zikir dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan bahawa kesemua ibadah tersebut hanya akan dapat dilakukan dengan menetapkan niat, keazaman yang kuat dan kesihatan tubuh badan yang baik.

Untuk menjadikan keadaan fizikal kita berada di dalam keadaan optima pada bulan yang penuh ganjaran ini, dikongsikan bersama beberapa tips yang dapat sama-sama kita amalkan:

1. Bersahur

Makan yang terpenting pada satu-satu hari adalah makan pagi. Sahur adalah makan pagi yang diawalkan sedikit. Kerana itu tidak dinamakan bersahur jika kita mengambilnya pada pukul 12 tengah malam.

Waktu sahur adalah di penghujung malam, terutamanya sebelum masuk waktu Subuh. Makanlah ‘slow burning food’ (makanan yang lambat hadam) seperti nasi dan roti semasa bersahur.

Kurangkan meminum teh semasa bersahur kerana teh mengandungi ‘theophyline’, satu bahan yang menggalakan kencing. Ini boleh menyebabkan badan akan kehilangan lebih air (dehidrasi) semasa berpuasa.

Pastikan anak-anak kita yang berlatih berpuasa supaya bersahur, kerana badan mereka yang kecil lebih memerlukan makanan yang berzat semasa bersahur untuk bertahan semasa berpuasa di siang hari.

2. Berbuka

Bersegeralah berbuka. Berbukalah dengan makanan ‘simple carbohydrate’ (gula ringkas) terlebih dahulu seperti ruthaab (kurma basah) atau tamar (kurma kering).

Ruthaab lebih berkhasiat dari tamar kerana lebih berserat dan kandungan nutrient yang lebih tinggi. Kurma adalah makan ‘low fat, high fibre’ (rendah lemak dan tinggi serat) yang mempunyai 60-70% fruktosa dan glukosa serta pelbagai nutrisi lain seperti protein, zat besi, kalsium, vitamin A dan B.

Pengambilan kurma sebagai makanan permulaan berbuka akan memberikan tenaga segera kepada badan yang seharian berpuasa. Ini akan menjadikan badan segera cergas.

Berbuka dengan karbohidrat kompleks boleh menjadikan badan lebih letih kerana tenaga di dalam badan perlu digunakan terlebih dahulu untuk menghadam makanan tersebut sebelum menghasilkan tenaga baru.

Bersederhanalah dalam berbuka. Adalah baik jika kita makan sebagaimana kita makan malam pada hari-hari biasa.

Makanlah makanan yang seimbang yang mengandungi kesemua elemen yang diperlukan oleh badan terdiri dari karbohidrat, protein, lemak dan vitamin.

Perbanyakkan makan berserat dan kurangkan makanan berlemak dan berminyak. Berhenti makan ketika kita mula merasa kenyang.

Adalah baik kita berbuka dengan makanan yang dimasak sendiri kerana kebersihan dan kandungan zatnya adalah terjamin. Kurangkan mimuman yang manis semasa berbuka lebih-lebih lagi minuman bergas (soft drink).

3. Selepas Tarawikh

Kita mungkim akan merasa agak lapar selepas tarawikh selepasa berbuka secara sederhana. Perbanyakkan minum air kosong bagi menampung kembali kehilangan air badan dalam cuaca tempatan yang panas ini.

Dalam keadaan biasa, badan merlukan 6 gelas air sehari. Adalah baik kita mengambil buah-buahan kerana buah-buahan mengandungi serat dan anti-oksida yang dipercayai boleh mencegah barah.

Minum air yang secukupnya dan makanan berserat akan membantu mengurangkan sembelit. Pembuangan air besar yang baik akan membantu badan membuang bahan-bahan toksik.

Pastikan kita jangan turus tidur selepas makan. Berilah satu tempoh masa tertentu sebelum tidur.

4. Siang Hari

Puasa yang sebenar akan menjadikan kita lebih fokus terhadap kerja. Jadikan Ramadhan ini satu tempoh kita dapat melakukan tugas-tugas pejabat dengan lebih berkesan.

Dengan itu kita lebih dapat memberikan masa kepada ibadah khusus seperti membaca Al-Qur’an dan bersolat.

Kurangkan tidur disiang hari , melainkan sekadar untuk mendapatkan tenaga bagi melaksanakan qiam di malam hari.

Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.

Oleh: Dr Zulkifli Yusof,
YDP ISMA Alor Setar

Nota: Dr. Zulkifli merupakan Pakar Perunding ENT di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Comments

Popular posts from this blog

15 Tanda-tanda Kanser Pada Kanak-kanak Yang Mungkin Anda Abaikan!

Apakah Itu SLE??

[Info Wanita] Warna Darah Haid Menunjukkan Tahap Kesihatan Tubuh Badan Anda!